Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - "Sesetengah orang yang naif berkata peluang keemasan telah wujud dengan perundingan bersama Amerika. Ianya bukanlah perundingan, namun pendominasian," kata khatib Ayatullah Ahmad Khatami dalam khutbah Jumaat.
"Amerika mahu Iran duduk di meja rundingan agar dapat memberitahu dunia: Lihatlah kami mampu menyeret Iran ke meja rundingan," sambung beliau lagi.
Dalam ulangtahun ke-49 Persidangan Keselamatan di Munich, Jerman, Naib Presiden Amerika Syarikat Joe Biden berkata Washington telah bersedia untuk mengadakan perbincangan secara langsung dengan Iran mengenai program tenaga nuklear.
Namun setelah empat hari kemudian, Amerika telah mengenakan sekatan baru terhadap sektor tenaga Iran. Sekatan ini bertujuan mencegah Iran dari memperolehi import bahan mentah.
Ayatullah Khatami juga menyentuh perkembangan di Timur Tengah dengan menyatakan, Iran percaya terhadap pemerintahan rakyat samada di wilayah Palestin atau Bahrain.
"Begitu juga di Syria, setiap rakyat Syria mempunyai hak untuk mengundi sedangkan Amerika dan Kesatuan Eropah telah mengirim pengganas ke Syria semenjak dua tahun lalu. Namun dialog sesama penduduk Syria sahaja yang mampu menyelesaikan masalah," tegas Khatami.
Krisis Syria yang bermula pada Mac 2011 telah mengorbankan ramai rakyat termasuk tentera dan anggota keselamatan.
Damsyik berkata huru-hara ini telah dirancang dari luar negara dan terdapat laporan sejumlah besar militan terdiri daripada warganegara asing.
Kerajaan Syria mengesahkan bahawa Barat dan sekutunya di rantau tersebut seperti Qatar, Arab Saudi dan Turki telah membekalkan senjata.